Bincang Drama

Baru-baru ini, teman-teman sekampus telah menghasilkan sesebuah pementasan drama bagi salah satu tugasan modul dan alhamdulillah, mereka telah menjalankannya dengan begitu baik sekali. Syabas kepada kesemuanya yang sememangnya telah memberikan yang terbaik dan kepada beberapa teman yang begitu menonjol bakat lakonan mereka, aku  juga amat terkesan melihat penghayatan yang begitu cemerlang sekali. Secara jujur, aku rasa adalah lebih baik sekiranya mereka telah mendapatkan lokasi pementasan yang lebih bersesuaian seperti Nanyang Playhouse yang serba lengkap dengan kesan cahaya dan lampu, sistem bunyi, pentas dan juga kawasan belakang pentas yang lebih sempurna. Namun, aku faham dan akur keterbatasan yang mereka hadapi..

Persoalan yang sebenarnya berligar di minda ini adalah mengenai hala tuju perkembangan teater di Singapura dewasa ini berdasarkan pengamatan kasar diri ku ini. Selaku seorang bakal pendidik, aku teruja untuk cuba menggabungkan kedua-dua minatku (teater dan pendidikan) dalam pembelajaran bahasa yang tercinta, namun nampaknya, perkembangan teater yang lazim di Singapura masih di takuk generasi kedua iaitu yang bergenre sandiwara.

Aku rasakan bahawa sangat sukar untuk mendapatkan sebuah bentuk persembahan yang benar-benar asli milik orang Melayu kerana apa yang mungkin dipraktikkan hari ini telah dimodikikasi, diakultursi dan disesuaikan menurut konteks keperluan. Perkataan “sandiwara” itu sendiri, jika tidak silap, berasal daripad etmologi Jawa iaitu “sandi” yang bererti rahsia dan “warah” pula bermaksud pengajaran. Ini pernah dijelaskan kepadaku beberapa tahun yang lalu tatkala di maktab rendah di mana kami telah didedahkan kepada beberapa skrip sandiwara Melayu.

Namun, masyarakat yang ingin berteater (terutamanya golongan yang bakal mendidik) harus peka bahawa dunia teater antarabangsa kini sudah jauh melangkah ke genre-genre yang lebih kontemporari dan walaupun tidaklah salah untuk tetap memilih untuk bersandiwara, kepekaan dan kesedaran itu haruslah tetap ada agar kita tidak mudah dicap sebagai ketinggalan zaman! Aku bukanlah pujangga teater atau pendita drama namun cukuplah sebagai seorang pemantau dan peminat seni teater, ingin ku usulkan dan pinta agar dihasilkan lebih banyak pementasan yang lebih moden; berbentuk kontempori yang jauh lebih “experimental” dan memberikan penulis skripnya untuk bebas menjelajah imaginasi dan logika.

Memang ada yang berpendapat bahawa genre sebegini terlalu terpecah sifatnya, tiada uniti, tiada kesatuan..namun inilah yang sebenarnya mampu mencabar audiensnya untuk memikirkan tentang permasalahan kejiwaan dan konflik batin manusia, yang begitu jarang sekali dipaparkan dalam teater yang ku lihat sekian ini. Di Indonesia, penulis-penulis skrip mapan seperti Putu Wijaya dan  Ariffin Noer berani dan lantang menggunakan bahasa dan pendekatan yang “absurd” dan “surreal” di mana ia tidak lagi terikat dengan sebab-musabab Aristotle.

Alangkah bertuahnya jikalau aku berpeluang untuk menyaksikan pementasan kontemporari yang ditulis oleh penulis skrip mapan seperti Noordin Hassan seperti “Bukan Lalang Ditiup Angin”, “1400”. Atau mungkin “Jebat” dan “Protes” oleh Dinsman! Siapa yang ingin menyahut cabaran mementaskan skrip-skrip ini? Ayuh!

 

Advertisements

About this entry