Kebejatan Moral Petanda Keruntuhan Tamadun

Hasil Renungan, Mac 2009…

Setiap ketamadunan yang terbentuk telah dibina atas dasar moral etikanya, agama, budaya, keintelektualannya dan sebagainya. Sejarah telah membuktikan bahawa sememangnya turun naik sesebuah ketamadunan seperti zaman Firaun, Cina Kuno, Yunani, Parsi dan lain-lain lagi tamadun besar dunia amatlah bergantung kepada dasar moralnya. Jikalau diamati dari sudut kehidupan perseorangan, entiti moralnya memainkan peranan yang amat penting dalam mengukur integriti dan keperibadiannya. Dengan mengukur dimensi moral seseorang individu, kita dapat mengatakan sama ada beliau seseorang yang bermoral ataupun sebaliknya. Natijahnya, dengan menggunakan formula yang sama, apatah lagi kesannya kepada organisme yang jauh lebih besar dan kompleks iaitu ketamadunan manusia. Dimensi moral tidak dapat diabaikan dan tiada ketamadunan yang bertahan dan berkembang dengan pengabaian dimensi moralnya.

 Menurut dimensi moral, persoalan kebejatan moral di sini dapat dipecahkan kepada dua isu induk iaitu yang pertama sekali, dimensi moral yang menyangkuti hal kepimpinan dan yang kedua pula merupakan pengamatan dimensi moral yang membincangkan peranan para cendekiawan kerana sememangnya, tanpa kedua-duanya, ketamadunan tidak akan mampu berfungsi. Harus ditekankan bahawa apabila diperbincangkan mengenai moral, ia bukanlah sekadar mempersoalkan tentang soal disiplin peribadi seperti tidak melanggar tatasusila, menceroboh hak manusia ataupun tidak mengamalkan sesuatu yang melanggar norma masyarakat, namun moral yang dimaksudkan di sini merupakan ketanggungjawapan dan keberanian untuk berpihak pada yang benar, tidak mengira dari mana sumbernya. Keberanian moral yang ingin diperbincangkan adalah keberanian untuk berpihak kepada golongan yang tertindas, terabai, terpinggir dan ternoda.

Pembangunan tamadun banyak dikesankan oleh produksi makanan yang akan mempertingkatkan pemukiman manusia, organisasi politik akan dimantapkan dan dimensi intelektual manusia akan menjadi lebih progresif dari masa ke masa.

Kebejatan moral, atau keterbalikkannya iaitu kemantapan moral, berkait-rapat dengan pembangunan tamadun dan dari aspek kepimpinan politik, ia telah begitu banyak dirakamkan dan dianalis. Seperti mana yang pernah dirakamkan oleh Pitirim Sorokin dalam bukunya, “Who Shall Guard the Guardians”, ataupun siapakah yang akan menjaga si Penjaga, beliau telah mempermasalahkan tentang isu korupsi dan soal moral yang terdapat dalam kalangan pemimpin dunia dewasa ini. Beliau juga pernah meramalkan bahawa dunia kita akan mengalami satu pemberontakan, keresahan dan kegelisahan yang diakibatkan oleh kebejatan moral yang semakin meruncing dalam kelalaian dan kecuaian pentadbiran politik sesebuah masyarakat/negara.

Di rantau kita juga, isu kebejatan moral dalam kepimpinan politik acapkali dibincangkan juga. Dari Munsyi Abdullah ke Sudjamoko di Indonesia dan juga Prof. Syed Hussein Alatas di Malaysia, isu ini kerap ditimbulkan dan dititikberatkan. Kepimpinan politik yang tidak berpaksikan moral akan menjadi petanda besar keruntuhan ketamadunan tersebut. Tambahan lagi, tidak harus dilupakan juga golongan inteligensia masyarakat kerana sekiranya mereka tidak memiliki keberanian moral, senanglah bagi mereka untuk bersekongkol dengan pihak penguasa yang tidak bermoral. Tidak dapat disangkal lagi bahawa kebejatan moral di kalangan pihak pemimpin dan inteligensia akan menjadi petanda keruntuhan ketamadunan tersebut.

Golongan intelek yang tidak memiliki kemampuan untuk menolak rasuah, menyalahgunakan kuasa, lalai dalam pentadbiran merupakan golongan intelek yang tidak memiliki keberanian moral kerana kekuatan intelek bukanlah kebolehan berteori itu dan ini, berhujah sana dan sini. Namun, apa yang ingin diperkatakan di sini merupakan yang bertitik-tolak daripada keberanian untuk menegakkan yang benar.

Sejarah kesultanan Melaka jelas memperlihatkan bahawa keruntuhan tamadun tersebut disebabkan kebejatan moral pihak feudal dan penulis Sulalatus Salatin, Tun Sri Lanang, secara sedar ataupun tidak, telah mendedahkan kelemahan kepimpinan politik kaum feudal masa itu. Mentelah lagi, dari Mpu Prapanca dalam puisi epiknya, Nagarakertagama (yang mengisahkann mengenai kerajaan Majapahit), sehinggalah ke Munsyi Abdullah dalam Kisah Pelayaran Abdullah, isu kebejatan moral dalam kepimpinan telah banyak kali dipermasalahkan! Jelas, kebejatan moral sememangnya petanda keruntuhan sesebuah tamadun.

Apabila mempersoalkan mengenai keruntuhan tamadun, apakah pula yang dimaksudkan oleh antonimnya iaitu perkembangan sesebuah tamadun? Kekuatan dan perkembangan sesebuah tamadun bukanlah sahaja merangkumi aspek kekayaan materil masyarakat tersebut atau kecanggihan pertahanannya, tetapi tamadun yang mampu bertahan dan berkembang merupakan tamadun yang memilik pasak moral yang teguh dan berintegriti. Dari pasak moral yang kuat, kemanusiaan dan kesejahteraan akan dapat terjamin dan ketidakmanusiaan akan mampu disanggah.

Syed Hussein Alatas pernah memperkatakan mengenai konsep Cita Sempurna dan Cita Bencana dan menurutnya, tamadun yang memiliki pasak Cita Sempurna akan mampu bertahan dan berkembang kerana pandangan hidup yang bermoral, menyeluruh dan mewujudkan masyarakat yang sempurna akan menjanjikan pembangunan yang sihat. Namun, dengan kebejatan moral, apa yang akan terjadi pula adalah Cita Bencana di mana akan terjadinya kerosakan kepada pembangunan sesebuah masyarakat. Korupsi, jenayah dan kelemahan moral akan menjadi petanda besar keruntuhan masyarakat dan ketamadunan.

Tambahan lagi, seperti mana yang pernah diperkatakan oleh Prof. Syed Hussein Alatas dalam majalah “Dewan Budaya” pada Jun, 1988;

“Masalah yang dihadapi oleh negara ini saya rasa ada dua dan dua masalah ini akan mempengaruhi masalah-masalah besar yang lain. Dua masalah ini adalah keruntuhan akhlak kepimpinan dan juga kekurangan pemikiran.”

________________________________________________

Advertisements

About this entry