Reviu: Manteq al-Tayr

SIDANG BURUNG

Tempat : Esplanade (Theatre Studio)

Tarikh : 25hb Oktober 2008

Masa : 8 Malam

___________________________________

…And to stir the mind To search after what it fain would find, Things that seem to be hid in words obscure Do but the godly mind the more allure To study…

Malam semalam, aku dan teman karibku berpeluang untuk menyaksikan persembahan teater Sidang Burung oleh Teater Ekamatra di Esplanade. Skripnya telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh penulis tempatan, Isa Kamari dan telah diarah oleh pelakon/pengarah mapan Sani Hussin. Persembahan ini berdasarkan terjemahan skrip teater “Conference of the Birds” oleh Peter Brook and Jean-Claude Carrière pada tahun 1970-an.

Sajak asalnya merupakan karya seorang ahli sufi Parsi Farid ud-Din Attar yang mengisahkan perjalanan 30 ekor burung yang telah diketuai oleh seekor burung Hudhud (yang merupakan perlambangan simbolik seorang sheikh sufi yang membimbing anak didiknya ke arah Kebenaran) untuk berjumpa dengan Raja segala burung – Simorgh. Dalam bahasa Parsi, sajak ini dikenali sebagai منطق الطیر.

Persepsi yang bermain di mindaku adalah kerunsingan; Mampukah aku memahami jalan ceritanya kelak? Akankah aku mampu menghayati pendekatan fahaman sufi yang akan diketengahkan? Nyata sekali, persembahan ini telah diarah dengan begitu jelas, padat dan telah berjaya mengupas isu-isu berat yang ingin diperkatakan tanpa membingungkan audiensnya yang rata-ratanya mungkin tidak pernah pun terdengar tentang sajak-sajak Parsi Farid ud-Din Attar.

Berbekalkan prop yang sederhana dan kostum yang minimalistik, barisan pelakon-pelakonnya telah memainkan watak mereka dengan begitu berkesan sekali. Yang paling aku minati adalah watak burung Merbah Jambul (Bulbul) yang dimainkan oleh saudari Nur Suhaili Binte Safari Wijaya dan juga watak burung Hudhud (Hoopoe) yang dimainkan oleh saudara Anwar Hadi Ramli. Walaupun rata-ratanya mereka merupakan aktivis teater yang muda-muda belaka, lakonan mereka mencerminkan bakat yang amat menjanjikan!

Dan lebih membanggakan lagi, pelakon yang membawa watak Burung Hantu, saudari Agnes Christina, merupakan junior ku tatkala kami bersama-sama menuntut di Maktab Rendah Anglo-Chinese. Sememangnya, aku masih teringat akan lakonannya yang baik di dalam produksi drama sekolah kami beberapa tahun yang lalu – “Madama Butterfly”. Syabas aku ucapkan kepadanya kerana pengalaman berlakon dalam produksi sekolah telah menjadi titik permulaan kariernya dalam alam teater professional!

Sememangnya, bukannya mudah bagi si burung Hudhud untuk mempengaruhi burung-burung yang lain untuk keluar dari sangkar mereka dan mengikutinya dalam penerbangan mencari Simorgh iaitu ketua bagi sekalian burung-burung. Seperti juga manusia yang mudah leka dan selesa di lingkaran keselesaan (“comfort zone”) mereka, burung-burung lain seperti Burung Merbah Jambul, Burung Merak, Burung Hantu, Ayam Hutan, Itik, Rajawali dan Nuri begitu berat untuk mendengar kata-kata si Burung Hudhud yang menggesa mereka untuk mempunyai cita-cita luhur untuk mencari Simorgh.

Seperti ungkapan nyanyian Burung Merbah Jambul (yang sungguh lunak dan mengasyikkan!), beliau cukup senang dengan kehidupannya dan peranannya mengungkapkan madah-madah cinta yang melalaikan dan mengkhayalkan; mentelah itu, apalah guna baginya untuk meninggalkan keselesaannya untuk pergi mencari Simorgh?

Burung Hudhud yang menjadi perlambangan kebijaksanaan telah menasihatinya agar jangan dibutakan oleh cinta kerana cinta keduniaan bak bunga mawar yang berduri, ia tidaklah lebih daripada cinta yang berduri sahaja. Namun, cinta pada Simorgh merupakan cinta yang tulus dan abadi. Adalah begitu bodoh bagi burung-burung tersebut bersembunyi di belakang alasan-alasan mereka yang lemah itu dan mengetepikan peluang keemasan mencari kesempurnaan dan cinta abadi.

Pelbagai alasan yang telah diberikan oleh burung-burung tersebut seperti kata-kata Burung Hantu yang menganggap dirinya lemah dan tidak bermaya kerana penglihatannya yang hanya mampu berfungsi secara optimal pada waktu malam. Itik juga turut merungut kerana dirinya lebih selesa dan gembira berenang di dalam tasik yang bersih dan suci, beliau bencikan kekotoran dan kegersangan tanah yang akan ditempuhinya jika ingin berjumpa dengan Simorgh! Si Rajawali pula begitu megah dan taksub dengan dirinya dan amatlah sukar untuk mempengaruhinya supaya berubah hati. Dan Burung Merak pula tidak mampu terbang kerana beliau merasakan dirinya disumpah oleh kecantikan bulu-bulunya yang begitu indah dan berwarna-warni.

“The Nightingale says that the love of the Rose satisfies him, and the journey is beyond his strength; but the Hoopoe warns against being a slave of passing love that interferes with seeking self-perfection.

The Parrot longs for immortality, and the Hoopoe encourages the Peacock to choose the whole.

The Duck is too content with water to seek the Simurgh. The Hoopoe advises the Partridge that gems are just colored stones and that love of them hardens the heart; she should seek the real jewel of sound quality.

The Humay is distracted by ambition, and the Owl loves only the treasure he has found.

The Hoopoe reprimands the Sparrow for taking pride in humility and recommends struggling bravely with oneself. She states that the different birds are just shadows of the Simurgh.

If they succeed, they will not be God; but they will be immersed in God.

If they look in their hearts, they will see the divine image. All appearances are just the shadow of the Simurgh. Those loving truly do not think about their own lives and sacrifice their desires. Those grounded in love renounce faith and religion as well as unbelief.

One must hear with the ear of the mind and the heart.”

Akhirnya, Burung Hudhud berjaya menyakinkan burung-burung yang lain untuk mengambil risiko demi mengambil peluang berjumpa dengan raja mereka. Setelah burung-burung tersebut bersetuju untuk pergi mencari Simorgh, mereka berhadapan pula dengan masalah yang baharu; siapakah yang layak menjadi ketua? Lantas, burung-burung tersebut telah berperang dan bergaduh kerana masing-masing merasakan diri mereka layak dan babak ini merupakan cerminan tepat dunia dewasa ini kerana manusia sering berperang, bertelingkah untuk mendapatkan kuasa dan masing-masing mahu menjadi ketua.

Persoalannya, mengapakah manusia yang dianugerahkan minda dan akal budi tidak mampu memikirkan tentang apa yang seharusnya ada dalam perwatakan dan pendirian seorang ketua yang baik?

Burung Hudhud telah mengingatkan burung-burung yang lain bahawa untuk tiba di gerbang Simorgh, mereka harus merentasi 7 lurah yang mencabar iaitu; Pencarian, Cinta, Misteri, Alienasi, Kesatuan, Kehairanan dan Kematian. Dan setelah lulus mengharungi ketujuh-tujuh lurah ini, dapatlah mereka berjumpa dengan Simorgh; ketua yang mereka cintakan dan dambakan. Namun, setelah akhirnya bersusah-payah tiba di gerbang istana Simorgh, mereka telah dihalang oleh Penjaga Gerbang yang menjelaskan bahawasanya, Simorgh yang mereka cari selama ini merupakan diri mereka sendiri.

Keindahan bahasa Parsi telah digunakan secara begitu pintar oleh Farid ud-Din Attar kerana perkataan Simorgh membawa dua makna iaitu;

  • Burung Phoenix (burung misteri yang kerapkali muncul dalam sastera sufi Iran)  ataupun
  • Tiga Puluh (si) Burung (murgh)

Rupa-rupanya, apa yang telah dicari sudahpun terdapat dalam kejiwaan burung-burung itu sendiri selama ini. Jika diubahkan konteksnya kepada kehidupan dan identiti seorang manusia, pencarian yang selalunya membelengguinya sebenarnya sudahpun wujud dan hidup di dalam dirinya sendiri. Namun, untuk menjadi seorang manusia yang lengkap, seseorang individu itu haruslah berhadapan dan mengharungi ketujuh-tujuh proses seperti burung-burung tersebut. Raja segala burung yang telah dicari rupa-rupanya sudahpun wujud di dalam diri mereka sendiri.

Pada akhir pementasan ini, aku pulang berbekalkan perspektif dan beberapa persoalan yang masih berlegar di fikiranku.

Adakah aku sama seperti si Burung Merbah Jambul?

Adakah aku sama seperti si Burung Merak?

Adakah aku sama seperti si Rajawali?

Siapa di antara kita yang sebenarnya Burung Hudhud, ketua mithali?

7 lurah yang harus ku tempuhi..sungguh sukar!

____________________________________________

Oh yah, aku juga berkesempatan mengambil beberapa gambar kenangan bersama penulis tempatan, saudara Isa Kamari. Begitu terharu aku dapat berjumpa dengan penulis novel yang sedang aku kaji kini – Kiswah. Alhamdulillah!

Hmm..menyentuh tentang penggunaan teknik perlambangan haiwan dalam sastera, aku teringatkan pula buku “Animal Farm” oleh George Orwell. Watak si khinzir, kuda, keldai, tikus, kucing dll..haiwan manakah yang melambangkan kau dan aku?

Advertisements

About this entry