Kuasa Patriakal & Cerita Dongeng

TEKNIK MENGGUNAKAN CERITA-CERITA DONGENG BARAT

OBJEKTIF : KEPENTINGAN MENDIDIK PARA PELAJAR MENJADI

PEMBACA YANG KRITIKAL

Fractured Fairy Tales.

Kisah-kisah dongeng yang telah diubah jalan ceritanya. Sungguh menghiburkan dan cuba perhatikan beberapa simbolisme menarik dalam kisah dongeng yang telah diubah ini!

Sekadar ingin berkongsi pendapatku bahawa para pelajar harus dilatih untuk menjadi pembaca yang aktif dan kritikal; bukan sahaja menerima apa yang telah/sedang dibaca secara bulat-bulat sahaja. Ini boleh dimulakan dengan memberikan mereka peluang untuk merenungkan kembali tentang segala cerita-cerita dongeng yang pernah mereka dengar tatkala mereka masih kanak-kanak lagi. Apakah perasaan mereka terhadap kisah-kisah sedemikian rupa? Bolehkah mereka lihat persamaan yang ketara di dalam kebanyakan kisah-kisah dongeng tersebut?

Secara jujur, ramai di antara kita yang lebih didedahkan kepada cerita-cerita dongeng Barat sejak usia yang muda dan kisah-kisah seperti Rapunzel, Cinderella, Snow White, Sleeping Beauty, The Little Mermaid dll sudah menjadi satu kemestian dalam skemata seorang kanak-kanak. Sejak daripada waktu ku di maktab rendah, aku sudah mula berjinak-jinak dan menyelidiki secara mendalam mengenai cerita-cerita dongeng Barat dan sememangnya menarik melihat bagaimana sesuatu yang pada asalnya BUKAN direka untuk menjadi bahan bacaan kanak-kanak, kini telah diubah, ditransformasi dan dipasarkan untuk menjadi santapan minda kanak-kanak (perempuan terutamanya). Sudah tentu, implikasinya begitu hebat!

Lihat sahaja kisah Hansel and Gretel oleh Hans Christian Andersen; bukankah bahagian di mana nenek kebayan itu suka menjamah daging kanak-kanak dan bahagian di mana Gretel menolak nenek kebayan itu ke dalam api yang membakar begitu ganas dan menyeramkan? Oh bagaimana pula dengan kisah The Little Red Riding Hood di mana beliau dan neneknya yang sakit telah ditelan oleh serigala yang ganas? Dan ayahnya (ataupun seorang pemuda tukang kayu) terpaksa merobek perut si Serigala untuk menyelamatkan mereka. Sungguh ganas, bukan?

Yang paling aku gemari adalah kisah-kisah dongeng oleh The Grimm Brothers yang sememangnya banyak mengetengahkan isu-isu feminisme yang menarik dan mampu menjana pemikiran seseorang untuk menyoal dan mengaitkannya dengan norma-norma masyarakat patriakal dewasa ini. Lihat sahaja keadaan di sekeliling, masih begitu ramai ibu-bapa yang begitu gembira melihat anak-anak perempuan mereka mengenakan kostum ala puteri Cinderella, Sleeping Beauty ataupun Aurora. Tidak, ini tidaklah salah tetapi aku rasa janggal dan hairan melihat masyarakat moden kita yang masih memperagakan kanak-kanak perempuan melalui kaca-mata watak yang kuno, pasif, lemah, mudah berserah kepada takdir dan mengharapkan bantuan kaum lelaki setiap detik. 

Dan kini, aku masih merupakan salah seorang daripada peminat penulis wanita yang ku anggap salah satu penulis terulung – Angela Carter. Cara dan kemahiran beliau menggunakan elemen-elemen cerita dongeng untuk mengetengahkan penindasan kaum wanita begitu menyerlah dan menakjubkan aku setiap kali aku membaca karya-karyanya! Antara karya-karyanya yang paling aku minati adalah “The Bloody Chamber”. Kisah ini menceritakan tentang seorang watak perempuan yang telah cuba untuk menyelamatkan dirinya daripada suaminya yang ganas dan kejam. Lebih menarik sekali, apabila watak tersebut terperangkap, yang hadir untuk menyelamatkannya bukanlah seorang lelaki perkasa, tetapi ibunya sendiri! Inilah yang dipanggil kuasa seorang wanita untuk tidak semestinya mengharapkan bantuan! Satu-satunya watak lelaki dalam kisah ini (selain daripada watak antagonis), merupakan seorang lelaki buta. Renungkanlah mesej yang ingin disampaikan oleh Angela Carter.

Kadangkala aku terlupa bahawa aku bukanlah mengajar sastera Inggeris. Haha! Namun, aku yakin bahawa segala minat ku terhadap sastera Barat mampu diaplikasikan dan digunakan untuk menyemarakkan lagi persada pembelajaran sastera Melayu di bilik darjah kelak!

Ayuh, marilah lungsuri lelaman dan tontonilah video berikut.

http://www.nationalgeographic.com/grimm/index2.html

Jikalau hendak mempersoalkan tentang cerita-cerita dongeng Barat, kerapkali akan terdapat seorang wanita ibu tiri. Pernahkah kau terfikir mengapakah situasi ini terjadi? Semestinya, faktor ini bukanlah satu yang terjadi secara tidak sengaja kerana setiap kisah yang ditulis seringkali merupakan pencerminan kehidupan sebenar masyarakat sesuatu periode. Menurut bacaanku, pada tahun-tahun di mana cerita-cerita dongeng tersebut luas tersebar, keadaan perubatan dan kesihatan amatlah rendah mutunya dan natijahnya, ramai wanita yang meninggal dunia akibat komplikasi tatkala melahirkan anak. Fenomena kematian ramai ibu-ibu ini telah menyebabkan kaum bapa untuk terpaksa berkahwin lagi kerana anak yang kecil itu memerlukan kasih sayang seorang ibu. Hmm mentelah lagi, untuk mengharapkan si Ayah untuk membesarkan anaknya sendirian adalah mustahil kerana peranan gender sudahpun jelas termaktub! Inilah yang menyebabkan ramai anak-anak zaman tersebut dibesarkan oleh seorang ibu tiri dan ini juga jelas terpancar dalam kisah-kisah dongeng tersebut. 

Watak seorang wanita juga turut dipaparkan dengan begitu stereotaip sekali. Ini dapat dilihat melalui dua zon yang begitu berbeza untuk membezakan wanita yang baik dan sebaliknya. Wanita yang baik haruslah memilki paras yang jelita, lemah-lembut dan seringkali memerlukan pertolongan kaum lelaki. Watak sedemikian yang terlalu idealistik akan dipaparkan selaku seorang puteri raja ataupun anak dara yang miskin dan ditindas. Dan wanita yang jahat pula haruslah hodoh, hasad dengki dan seringkali menggunakan ilmu sihir ataupun tipu muslihat untuk menyesatkan. Watak sedemikian pula akan dipaparkan selaku seorang ibu tiri, nenek kebayan ataupun permaisuri yang mengamal ilmu hitam.

Dan watak lelaki pula akan dipaparkan sebagai penyelamat dan yang melindungi. Ini bukanlah sesuatu yang salah, namun tidakkah watak perempuan tersebut mempunyai keupayaan untuk cuba menyelesaikan masalah sendiri tanpa mengharapkan sesiapa? Dan fikirkan, setiap cerita dongeng ini akan berakhir dengan watak perempuannya kerapkali mengahwini seorang putera raja ataupun penyelamatnya. Hmm, benarkah perkahwinan itu merupakan penyelesaian bagi setiap masalah besar yang dihadapi oleh seorang wanita? Apakah mesej yang ingin disuapkan ke dalam santapan minda kanak-kanak selaku pembaca?

Dengan menggunakan pendekatan ini, aku rasa ia akan mampu menarik perhatian para pelajar untuk membiasakan diri untuk menyoal diri mereka sendiri tatkala membaca suatu karya sastera. Penggunaan cerita-cerita dongeng merupakan sesuatu yang mereka ketahui dan pengetahuan sedia ada ini mampu digunakan untuk melatih mereka menjadi pembaca yang lebih matang dan kritikal. Setujukah?

Akhir sekali; aku ingin mendapatkan buku ini. Mudah-mudahan terdapat di perpustakaan!

Advertisements

About this entry