Pepatah: Perspektif Lombroso

HANGAT TIADA BERAPI, SEJUK TIADA BERAIR

Makna:

Orang jahat, biarpun diberi kesenangan, namun kalau mendapat

kesempatan akan diulangnya juga perbuatan jahatnya itu.

______________________________________

— CESARE LOMBROSO —

Pepatah Melayu ini akan ku kupas dan ku bincangkan melalui kaca-mata ahli kriminologi terkemuka , Cesare Lombroso (November 6, 1835 – Oktober 19, 1909).

_______________________________________

Aku telah menubuhkan ‘Italian School of Posivist Criminology’ dan sekeras-kerasnya menentang fahaman Classical School yang berpendapat bahawa perlakuan jenayah merupakan sesuatu yang didorong oleh sifat semulajadi manusia ataupun ‘human nature’. Sungguh tidak dapat diterima, bukan! Sebaliknya, aku mengasaskan konsep-konsep yang berdasarkan;

  • ilmu psikologi
  • ‘physiognomy’ (penilaian personaliti atau karakter seseorang berdasarkan aspek luaran, terutamanya muka)
  • ilmu awal eugenik (falsafah sosial yang menyarankan intervensi luaran untuk memperbaiki segala apa yang diwarisi oleh generasi sebelumnya)
  • Darwinisme Sosial (teori di mana evolusi sosial dipandu oleh persaingan antara semua individu, kumpulan atau ideologi dan ia mengikut laras Darwinisme iaitu “survival of the fittest”.

Teori ku iaitu “Theory of Anthropological Criminology” mempercayai bahawa sifat atau naluri untuk melakukan jenayah itu adalah diwarisi dan seseorang itu sememangnya boleh dilahirkan sebagai seorang penjenayah! Tambahan lagi, sifat-sifat si penjenayah itu dapat diidentifikasikan melalui kecacatan atau kekurangan dari aspek fizikal yang akan menjadi pengesahan si penjenayah itu sebagai seorang yang ganas dan bersifat atavisme; sifat fizikal primitif yang dimiliki oleh bangsa-bangsa inferior yang kini masih diwarisi oleh generasinya kini! Fahaman atavisme ini mempersoalkan isu evolusi sebagai sesuatu yang progresif dan menuju kepada sesuatu yang lebih superior atau lebih menakjubkan; dan bukanlah masih mewarisi sifat-sifat lapuk dan primitif. 

Sememangnya, aku bersetuju dengan pepatah Melayu yang tertera;

HANGAT TIADA BERAPI, SEJUK TIADA BERAIR

Aku pasti bahawa setiap masyarakat itu mempunyai stereotaip atau penerimaannya yang tersendiri sebagai faktor-faktor yang dapat menjerumuskan seseorang itu untuk menjadi seorang yang “jahat”. Konotasi “jahat” merupakan sesuatu yang boleh dianggap abstrak dan subjektif. Tetapi, secara dasarnya, orang yang “jahat” akan seringkali dibayangkan sebagai orang yang lain daripada ahli masyarakat yang lain, mahupun dari segi luarannya dan juga perwatakannya.

Dalam konteks bangsa Melayu amnya, orang yang “jahat” akan dijelaskan sebagai yang tidak mempunyai pegangan agama Islam yang kukuh, sentiasa melakukan apa yang ditentang oleh agama (meminum arak, memiliki tatu, berjudi, dll) dan juga mempunyai perwatakan yang kasar, biadap, menakutkan dan pelik. Ini mampu membuktikan teori ku yang membolehkan seorang penjenayah itu dikenalpasti dengan mudah sekali!

Tepat seperti makna pepatah tersebut, orang “jahat” biarpun diberi kesenangan, namun kalau mendapat kesempatan akan diulangnya juga perbuatan jahatnya itu. Mengapakah ini terjadi? Mudah sahaja. Ini bukanlah kerana si “jahat” itu hanya bersuka-suka ingin melakukan kesalahan. Ia boleh dijelaskan.

Berbalik kepada teori ku yang menegaskan bahawa aspek eugenik tidak boleh diketepikan dan harus dilihat latar-belakang si penjenayah itu untuk mengenalpasti dari mana datangnya naluri penjenayah itu diwarisi daripada? Tentunya sifatnya yang ganas dan melawan etika dan nilai masyarakat muncul atau diwarisi dari sesuatu pihak. Dan lihat sahaja stigmata atavistik si penjenayah itu! Itu merupakan satu pembayang yang jelas diberikan oleh alam untuk menjejak naluri untuk melakukan jenayah!

Menggunakan fahaman “biological determinism”, cuba kau perhatikan si orang “jahat”. Adakah dia mempunyai stigmata atavisnitik atavistik seperti;

  • dagu yang besar, ke hadapan dan dahi yang menjunam

  • tulang pipi yang meninggi atau hidung yang tidak sempurna

  • telinga yang seakan-akan berbentuk dulang atau pemegang

  • hidung yang tajam dan melengkung

  • bibir yang tebal

  • mata yang tidak boleh fokus
  • janggut yang tidak terurus pertumbuhannya
  • kebotakan
  • lengan yang panjang
  • tidak mempunyai reaksi kepada kesakitan

Hmm sememangnya seperti teori evolusi Darwin, sifat-sifat yang tertera di atas seakan-akan memberikan gambaran seekor monyet dan aspek primitif inilah yang menjerumuskan seorang individu untuk memiliki naluri dan dorongan intrinsik untuk melakukan apa yang ditentang masyarakat; jenayah.

Natijahnya, berdasarkan teori ku, setujulah aku bahawa walaupun si orang “jahat” itu mempunyai kesenangan, dia akan tetap melakukan kejahatan atau jenayah jikalau diberikan peluang kerana sudah menjadi satu naluri yang diwarisi daripada generasi primitif sebelumnya ataupun mempunyai dorongan yang dapat dijejak melalui aspek fizikalnya itu. Namun ini bukanlah merupakan satu alasan bagi seseorang untuk sewenang-wenangnya melakukan kejahatan atau bagi masyarakat untuk melabel individu tanpa usul-periksa, ia sekadar satu teori yang berdasarkan kajian terperinci ku dan boleh diaplikasikan untuk mewujudkan pemahaman yang lebih mendalam tentang penjenayah.

Advertisements

About this entry