Yang Menggoda & Tergoda

PEREMPUAN

Perempuan itu adalah Hawa

yang menggoda Adam

setelah tewas di tangan Iblis

setelah lemah oleh bau syurga

adakah Hawa di sekeliling kita?

Mohamed Latiff Mohamed

Aku tidak dapat berhenti daripada membaca sajak-sajak hasil penulisan Mohamed Latiff Mohamed sejak beberapa hari yang lepas. Daya penariknya? Mungkin kerana bahasanya yang mudah difahami (dalam kesederhanaan ada ketajaman) tapi aku rasa karisma yang menarik diri ini untuk terus membaca (dan menghayati) adalah isu-isu yang diketengahkan olehnya. Isu-isu yang begitu dekat di hati. Inspirasi yang diperolehinya mungkin tercetus di Bedok, Ang Mo Kio, Bradell, Woodlands atau mungkin sahaja di Pasar Geylang Serai. Wallahualam. Seperti yang telah diperkatakan olehnya sendiri dalam pendahuluan bukunya;

“..saya tetap digoda oleh alam realisma tempat saya hidup, maka itulah saya masih sayangkan nasib manusia seperti sajak “Pak Dollah”, “Kepadamu Melayu”, “Tatu”, “Balada Pak Mail”, “Apa Yang Harus Kutulis Lagi”, “Melayu Baru”, “Siswazah”. Puisi-puisi ini meresapkan rasa cinta saya pada bangsa Melayu di sini.”

Seorang pensyarah sastera ku pernah mengatakan bahawa sastera yang baik hanya mungkin akan tercipta jikalau pengarangnya benar-benar mempunyai panggilan yang teramat kuat, berdesing, mendesak dan memaksanya untuk menyampaikan sesuatu mesej atau khabar kepada audiens pembacanya. Implikasi dari kenyataannya itu, aku menyimpulkan bahawa kononnya, di negeri seperti di Singapura, di mana rata-rata dari kau dan aku begitu selesa dengan jalan kehidupan kita yang sempurna (ini bukanlah satu rintihan), tidak akan tergerak untuk berkarya (kerana apa yang hendak diperkatakan?) dan jauh sekalilah untuk menghasilkan karya yang bermutu tinggi. 

Benarkah andaianku ini? Aku sendiri bersetuju (70%) dan tidak bersetuju (30%).

Jika dipantau tren anak-anak muda kita yang gemar meluahkan perasaan dan hal-perihal mereka melalui blog masing-masing, apakah yang sering menjadi pokok perbualan mereka? Hal-perihal persahabatan, percintaan, tren fesyen terkini, tempat makan/minum yang digemari, rungutan tentang sekolah dan ibu-bapa dll. Oh dan jangan terlupa untuk memuat-naikkan sekali gambar-gambar yang dipetik tatkala bersantai! Maklumlah, itu semua merupakan bukti-bukti kukuh, bukan? Ini bukanlah satu kesalahan kerana sememangnya pada pemikiran mereka, apa lagi yang hendak diperkatakan? Politik, masalah sosial? Mereka tidak mempunyai kesedaran dan minat yang cukup untuk memperkatakan ia. 

Aku rasa ini mungkin akan dikatakan sebagai hanya satu alasan oleh sesetengah pihak namun kau dan aku harus berpijak di bumi yang nyata. Sedih sekali, ramai anak-anak kita yang masih “berhutang” dengan guru-guru kerja-rumah mata pelajaran Inggeris, Matematiks, Ilmu Fizik dll dan bayangkan betapa sukarnya untuk mendorong mereka agar menikmati dan menghasilkan karya-karya Sastera Melayu. Ibu-bapa dan pihak sekolah sudah tentunya menyetujui bahawa kewajiban harus didahulukan. Adik-adik, selesaikan dahulu kewajiban akademik mu dahulu sebelum kita berbincang tentang sastera, ya?

Nah, bagaimana mungkin sastera akan mungkin berkembang jika tiada isu-isu yang ingin diketengahkan oleh mereka? TIdak mungkin mereka ingin bersajak tentang pengalaman bercuti di Bangkok. Tidak mungkin mereka ingin bercerpen tentang waktu lapang bersantai di Starbucks. Tidak mungkin mereka ingin bermadah tentang komputer riba yang rosak. Tidak mungkin mereka ingin bersyair tentang wang saku yang tidak pernah mencukupi.

Namun.

Terdapat segelintir kecil di antara kita yang masih mampu menghasilkan sastera bermutu di Singapura ini sendiri. Aku memang terlalu mentah untuk memuntahkan nama-nama mereka (walaupun aku boleh secara mudahnya men- “google” kannya) tapi biarlah contoh pertama yang mampu aku berikan ini ialah Mohamed Latiff Mohamed. Beliau peka. Beliau sedar. Dan beliau bersastera mengenainya. Alangkah istimewanya golongan mereka ini yang diberi anugerah untuk mengungkap perkara yang kau dan aku gagal untuk melihat! Alangkah bertuahnya kita!

Aku ingin berkongsi beberapa sajaknya yang ku fikir mampu difahami dan dinikmati oleh setiap peringkat pembaca Melayu. Kerana jikalau aku tidak mampu berkarya, cukup sahajalah aku menikmati.

Penyair

Sebagai penyair aku hanya ingin

keindahan alam

bersama desiran daun

melihat awan putih berarak

dan bulan mengambang.

 

Sebagai penyair

aku hanya ingin bercinta dengan malam

mencumbui bibir manis bak pualam

menghirup bau tubuh gadis rupawan

bersama zikir subuh di masjid gemilang.

 

Sebagai penyair aku inginkan

seluruh alam menjadi wangi

dan seluruh mimpi jadi kenyataan

menghapus semua penindasan

diskriminasi yang terjadi di seluruh alam

persamaan kulit, takdir dan suratan.

 

Sebagai penyair kuingin

bertatih di bianglala

tidur dalam sejuk awan

lena dalam harum kuncupan bunga di taman

tidur disela-sela tangan

kekasih yang memuaskan seluruh rindu-dendam

 

Sebagai penyair akan kubunuh semua kesunyian

dan tak mungkin kutangguhkan saat-saat kematian.

Mohamed Latiff Mohamed

    

Advertisements

About this entry