Ku Damba Novel Picisan

Cinta.Kasih.Sayang.

Serupa Tapi Tidak Sama?

Novel: “Setulus Cinta”

Pengarang: Siti Farrah Shahwir

Penerbit: Creative Enterprise Sdn Bhd

Sinopsis:

Perhubungan yang istimewa terjalin antara Ain dan Zam, jiran yang dikenali sejak kecil. Zam dianggap sebagai seorang abang dan sahabat baik bagi Ain. Kekecewaan dalam percintaan membuatkan Zam akhirnya jatuh hati kepada Ain. Hadirnya Hadi terlebih dahulu dalam hidup Ain memberi satu halangan kepada Zam. Azim, kawan sekuliah yang popular turut menaruh hati terhadap Ain.

Masalah yang menimpa pada Hadi menyebabkan Ain berkorban dengan mengahwininya. Namun, hatinya dikecewakan dengan cinta Hadi yang tidak tulus. Ain diceraikan dan dikahwinkan dengan Zam yang direstui oleh kedua-dua ibu-bapa mereka. Adakah akan ada bahagia meniti dalam hidup Ain? Adakah Zam tulus mencintainya?

Novel: “Cahaya Di Hujung Nyawa”

Pengarang: Maizura Mohd. Ederis

Penerbit: Creative Enterprise Sdn Bhd

Sinopsis:

Tiara hanya ingin disayangi dan meraih cinta daripada lelaki yang mahukannya, bukan harta ibu-bapanya dan Hud adalah lelaki yang tepat. Namun, perjuangan Tiara bersama Hud untuk hidup bersama tidak semudah yang disangka kerana ada banyak ranjau berduri yang perlu mereka tempuhi.

Berbekalkan hati yang cekal, kedua-duanya nekad menempuh gerbang perkahwinan tanpa restu orang tua. Tanpa disangka, tiba-tiba jarak menjadi pemisah dan Tiara jauh terasing di bumi Inggeris manakala Hud gigih berjuang untuk mendapatkan hak di sisi Tiara. Cinta, seakan tiada kesampaian namun berkat doa dan reda terhadap apa yang berlaku, Hud sanggup menggadai nyawa demi Tiara yang tiada dua. Benar madah pujangga, lautan luas sanggup direnangi dan Hudlah lelaki itu, terapung di belantara cinta yang tiada penghujungnya.

____________________________________________________________________________________________

Hmm serupa tapi tidak sama?

Merisik Pilu – Habibah Rahmat, Leraian Novella – Norhisham Mustaffa, Gerimis Di Hati – Rafizah Nordin, Pst..Gossip! – Nass Alina Noah, Maafkanlah Aku.. – Zaharah Muhammad, Kuntum Kasih Berserakan – Mohd Kassim Mahmud, Merentas Kasih – Siti Rohayah Atan, Cincin Permata Biru – Mior Shariman Hasssan, Kau Tetap Di Hatiku – Jamilah Ahmad, Rinduku Di Angin Lalu – Norisah A. Bakar, Permata Asmara – Rozita Abd. Wahab, Tak Ingin Menangis Lagi – Maharam Mamat, Kasih Anatara Kita – Norisah A. Bakar

Novel picisan. Novel picisan?

Istilah itu baru ku dengari buat kali yang pertama pada tahun 2007. Sebelum itu, padaku apa yang membezakan antara novel yang bermutu dan novel yang dianggap kurang bermutu hanya tertahluk kepada beberapa faktor seperti pengarangnya (sama ada terkenal ataupun tidak)  dan laras bahasa yang digunakan. Memanglah kebanyakan novel-novel yang terdapat di perpustakaan di serata Singapura kurang sesuai untuk digunakan dalam pembelajaran di sekolah (memandangkan isu-isu yang diketengahkan tidaklah mencabar daya pemikiran murid-murid), namun haruslah karya-karya tersebut diberikan gelaran ‘picisan’?

Menurut Kamus Dewan Edisi III, perkataan ‘picisan’ membawa pengertian “tidak berharga, rendah mutunya”.

Benarkah kebanyakan novel-novel Melayu yang memenuhi rak-rak perpustakaan seluruh negeri boleh aku anggap sebagai “tidak berharga” dan “rendah mutunya”? Tentu sekali tidak! Hanya kerana isu-isu yang diketengahkan mungkin hanya berlegar tentang pertemuan, percintaan dan perpisahan, ia tidak kurang dari aspek laras bahasa yang digunakan. Ramai anak-anak murid Bahasa Melayu yang bersungguh-sungguh ingin memperbaiki mutu tulisan mereka akan dilihat meminjam buku-buku ‘picisan’ ini pada musim cuti sekolah dan beriya-iya menyalin frasa-frasa menarik ke dalam buku catatan mereka. Bahan salinan itu akan kelak digunakan dalam penulisan sekolah mereka dan formula ini amat berkesan kerana sememangnya pembendaharaan kata mereka meningkat dengan cemerlang sekali!

Mengapakah aku begitu pasti tentang ini? Sebabnya amatlah mudah. Novel-novel ‘picisan’ inilah yang telah banyak membantu memperbaiki mutu penulisanku tatkala di bangku sekolah. Pada usia remaja, jikalau hendak diharapkan pengalaman dan pendedahan untuk mendapatkan inspirasi mengarang, ianya amatlah terbatas. Secara jujur, banyak kebaikan yang telah ku raih dari pembacaan novel-novel tersebut! Kisah cinta tidak kesampaian, kisah pergolakan keluarga, kisah kehidupan orang bandar yang lupa daratan. Kesemuanya telah mampu dijadikan inspirasi. Gred penulisan tertinggi yang sering menjadi milik ku tidak akan menjadi kenyataan jika aku mengharapkan buku-buku teks sahaja. Oleh itu, setinggi-tinggi terima kasih aku ucapkan kepada pengarang-pengarang Nass Alina Noah, Habibah Rahmat, Siti Rohaya Samah, Abd Talib Hassan dan ramai lagi! 

Sama juga dengan buku-buku yang ditulis dalam Bahasa Inggeris. Aku memang amat meminati karya-karya genre “chick lit” kerana walaupun mutu penulisan Inggeris yang digunakan tidak mengelirukan sehebat karya klasik seperti Jane Eyre dan Sense And Sensibility, namun ia mampu membantu si pembaca melapangkan minda dan meluaskan perspektif kehidupan, bukan? Pokok persoalannya adalah, pembaca tidak boleh dipaksa-paksa dan aktiviti membaca kini adalah lebih daripada untuk meraihkan ilmu. Ia kini satu gaya kehidupan. Karya Sex And The City, tulisan Candace Bushnell, telah dijadikan drama kaca televisyen dan mencetuskan kegilaan di kalangan wanita-wanita muda di New York, Paris, London, Tokyo, Singapura dan mungkin juga di Novosibirsk! Aku (dan mungkin ramai lagi kaum wanita muda) akur, cukup menyeronokkan dan menggelikan hati membaca karya Helen Fielding (Bridget Jone’s Diary) dan Karen Yampolsky (Falling Out of Fashion)! Lihat sahaja lelaman ini untuk meninjau berapa tinggi perhatian yang dimiliki oleh genre ini;

http://chicklitbooks.com/

Seperti yang telah diperkatakan oleh rakan-rakan sekuliah, kami semua tidak akan mampu memahami menghayati karya-karya sastera agung jikalau tidak berjinak-jinak dengan novel-novel ‘picisan’ terlebih dahulu. Maklumlah, bagaimana hendak mengenali karya yang unggul jikalau pembaca itu tidak mampu membezakannya dengan penulisan yang tidak sehebat. Natijahnya, akan tetap aku menyokong anak didik ku kelak jikalau mereka begitu berminat didampingi novel-novel sedemikian. Tentu sekali akan tetap aku perkenalkan kepada mereka karya-karya yang bermutu tinggi, namun pemilihan bahan pembacaan itu hak bebas setiap individu. Jika hati mereka sudah terpaut tentang kisah menyayat hati cinta tiga segi si A, B dan C, ayuh sokonglah sahaja!

 

Advertisements

About this entry