(Tak) Kuasa Sastera Singapura

Jikalau ditanya kepada individu-individu secara rambang tentang pengertian mereka terhadap sastera, terdapat dua konsensus yang akan sering timbul. Satu; pendapat dan pandangan yang lumrah bahawasanya sastera itu tidak ubah seperti genre-genre kesenian yang lain; ramai yang sememangnya begitu gembira dan berpuas-hati dengan sebuah novel yang sarat dengan klise, menyenangkan hati, tidak disaluti apa-apa bebanan berbaur serius atau memiliki kepentingan praktikal. Itupun jikalau individu tersebut tidak berasa segan-silu membawa novel Melayu di tempat awam!

Maklumlah, tanya sahaja anak-anak muda kita di Starbucks, Coffee Bean, TCC atau Coffee Club; bukankah ia lebih kosmopolitan untuk membaca buku tulisan Coelho jika dibandingkan dengan karya tragis Shahnon Ahmad? Mungkin aku salah dengan tanggapan ini, tapi aku rasa aku tidaklah jauh tersasar.

Bagi kelompok ini, sastera itu merupakan wadah pencerminan kehidupan dan seringkali menyajikan tema-tema universal seperti percintaan, perpisahan, persahabatan, kebebasan dan macam-macam lagi. Mungkin juga bagi mereka, sastera itu bersifat elitis yang hanya mampu dihayati oleh golongan-golongan masyarakat yang tertentu sahaja dan ianya langsung tidak membawakan apa-apa pengertian terhadap kehidupan mereka. Terus terang dikatakan, bukannya boleh dijadikan sumber pendapatan dengan mengetepikan masa menghayati karya sastera! Biarkan sahaja kakak-kakak dan abang-abang NUS/NTU/SMU membaca dan memperbualkan tentang sastera. Betulkah atau salahkan tanggapan ini?

Golongan yang kedua pula, akan memperjuangkan sastera dengan segala usaha gigih dan sayang sekali, walaupun penat-lelah mereka itu harus sememangnya diberikan pengiktirafan yang sewajarnya, mereka masih juga tidak dipandang serius oleh masyarakat. Secara peribadi, terdapat beberapa kenalanku yang tergolong dari golongan kedua ini. Kesungguhan mereka, walaupun patut dicontohi, seringkali dianggap sebagai “membuang masa” atau “pekerjaan yang sia-sia”. Stigma ini sudah lama bertapak dan hmm, mungkin tidak akan mudah dilenyapkan.

Jadi, apa yang harus dilakukan. Jika dibiarkan, memanglah mudah kerana sikap mengendahkan usaha murni yang selama ini telah dijalankan untuk menyemarakkan sastera tempatan sudah menjadi kepakaran masyarakat kita. Pada mereka, mungkin lebih seronok berjam-jam menonton sinetron dari seberang atau atau lebih berbaloi menyokong penyanyi kegemaran mereka daripada menghadiri sesi pelancaran buku di perpustakaan. Jika hendak mengubah keadaan, ianya bukanlah perkara yang senang dan dapat dileraikan dalam jangka masa beberapa bulan tahun kerana polemik ini tidak akan terhurai hanya dengan menganjurkan lebih banyak program berteraskan sastera tempatan.

Mentali masyarakat masih belum bersedia untuk menerima sastera sebagai sesuatu yang penting dan lihatlah sahaja anak-anak murid di sekolah. Disuruh membawa sekeping buku cereka Melayu sekali dalam seminggu juga amat menyeksakan! Apatah lagi jikalau guru-guru disarankan cuba mengubah persepsi murid-murid? Yang lebih menggelikan hati, persepsi guru-guru juga harus diperbetulkan dahulu. Gamat alamatnya.

Pessimisme ini mungkin dianggap tidak berasas pada beberapa pihak. Namun aku benar-benar buntu fikiran bagaimana untuk menangani situasi ini. Buntu. Mati akal. Mampukah aku mengubah keadaan?

Advertisements

About this entry