Melayuku Melayu?

Mohamed Latiff Mohamed (Kepadamu Melayu);

Apalah ada pada minda generasimu, melainkan hiburan demi hiburan. Dalam rimba kesyahduan, kemabukan. Syahdat penuh kepura-puraan dan dalam lumpur kebaculan.”

Tentang aku dan kau. Kau dan aku. Renungkan lah. Bibirku tersenyum sinis. Konon-kononnya individu yang dimaksudkan itu bukanlah diriku. Namun, jika dicubit paha kanan, paha kiri turut terasa sakitnya.

“Sastera Melayu akan hanya mendapat perhatian dan pengiktirafan dunia jika ianya ditulis    dalam Bahasa Inggeris”

Selaku pelajar sastera Melayu, dalam memahami dan menghayati erti sebenar dinamika sastera Melayu, semakin hari aku mendapatinya semakin sukar untuk membezakan antara perjuangan sastera dan perjuangan Bahasa Melayu. Ideologi sastera yang menilaikan gaya penulisan, isu-isu yang diketengahkan, kesannya terhadap pembaca dan juga nilai yang diusulkannya seakan-akan menjadi satu perjuangan Bahasa Melayu. Mestikah karya sastera Melayu bermutu ditulis dalam Bahasa Melayu?

Adakah Bahasa Melayu itu merupakan hanya satu vesel menyampaikan sastera kita? Adakah nilai sesebuah karya sastera Melayu itu terletak pada penggunaan Bahasa Melayunya semata-mata? Tentulah tidak.

Perkongsian yang telah dijalankan ketika kuliah sememangnya telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada rakan-rakan dan persoalan yang ditimbulkan itu bukanlah merupakan kali yang pertama didengari kerana sudah begitu ramai yang telah mengusulkannya. Memanglah tidak salah jikalau penulis-penulis Melayu memulakan langkah menulis dalam Bahasa Inggeris untuk memperkenalkan sastera Melayu kepada dunia namun objektifnya haruslah tetap jelas. Jikalau tidak, boleh dikatakan ia boleh mencetuskan permasalahan kelak.

Apakah implikasi yang akan disampaikan melalui langkah ini? Walaupun sememangnya objektif yang diinginkan bersifat murni namun ia memberikan implikasi bahawa Bahasa Melayu yang telah digunakan merupakan punca mengapa sastera Melayu masih ketinggalan. Jikalau Bahasa Melayu tidak lagi menjadi wadah utama sastera kita dikembangkan, apakah lagi nilai Bahasa Melayu itu lagi? Mahukah kita mengiyakan konotasi itu?

Memang aku bersetuju bahawa karya sastera Melayu akan mampu mendekatkan penulis dengan audiens pembaca di peringkat antarabangsa. Ia merupakan satu langkah yang progresif dan dialu-alukan. Namun, ia tidaklah harus dijadikan satu kayu pengukur nilai sesebuah karya kerana situasi dewasa ini (masyarakat yang sememangnya masih mengagung-agungkan Bahasa Inggeris dan menganak-tirikan Bahasa sendiri) sudah sedikit sebanyak mengikis penggunaan Bahasa Melayu. Jika dilaung-laungkan kelak slogan menggalakkan penulis-penulis Melayu menggunakan Bahasa Inggeris, proses pengikisan itu akan mungkin terus berubah menjadi proses penghapusan total!

Advertisements

About this entry