(i)dolah Inspirasi Ku

Sejurus setelah selesai menulis cerpen “Gerabak Terakhir”, dengan izin Allah swt, penulis diperkenalkan pula kepada sajak tulisan Mohamed Latiff Mohamed berjudul “Balada Dolah”. 

Teman seperjuangan, Saudara Irwan Jamal, telah mengungkapkan kepada ku semalam di kampus, Mel, you have to read this! Balada Dolah. Powerr.”  Aku pun terus membuka ke halaman 87 buku “Puisi Pilihan – Bila Rama-rama Patah Sayapnya”. Memang tepat. Ia sememangnya menyengat! Setinggi-tinggi terima kasih juga diucapkan kepada pejuang sastera muda ini kerana telah banyak memperkenalkan ku kepada dunia sastera Melayu Singapura. Sememangnya aku tersangat lambat berjinak-jinak dengan sastera tempatan, tapi yang penting, kini kesedaran itu telah mula dipupuk. Dahulunya, bukanlah aku sengaja mengetepikan atau menolak karya-karya ciptaan penulis tempatan, cuma kesempatan itu tidak langsung muncul buatku berkenal-suai. Tapi kini akhirnya, terbuka lembaran yang baru bagi diri ini!

Sejurus sahaja membaca sajak ini (aku akur keindahannya terletak pada gaya minimalistiknya dan bentuknya yang sungguh bersahaja), aku terus terkenang dan terbayang watak-watak anak-anak lelaki muda di dalam cerpen “Gerabak Terakhir”. Ia merupakan sesuatu yang sungguh tidak disangka-sangka dan amat mengejutkan! Mungkinkah ini yang dimaksudkan oleh serendipity? Penemuan yang begitu tidak disangkakan. Emosi yang sememangnya menyenangkan! 

Atas dasar keselarian inilah aku memilih untuk berkongsi sajak ini. Moga ia dijadikan bahan renungan mengenai kegunaan sastera untuk memberikan mesej kepada anak didik kita. Seringkali, hati itu lebih senang menerima ajar daripada akal. Boleh juga diajukan kepada murid-murid; berapa ramai Dolah yang awak kenali? Hmm mungkin, terdapat Dolah di kalangan darjah kau dan aku. Sastera itu hidup, bukan mati. Itulah mungkin pokoknya.

Balada Dolah

(Mohamed Latiff Mohamed)

Namaku Dolah

dari keluarga terbuang

ibuku pekerja kilang

ayah penyapu jalan

aku lulus darjah enam

setelah empat kali mengulang peperiksaan

kini umurku lapan belas

menunggu dipelawa jadi tentera

dalam Perkhidmatan Negara

abangku penagih dadah

sudah limabelas kali masuk DRC

dan kini tidak serik-serik lagi

dituduh merogol gadis sunti

ibuku asyik di kilang

ayah gemar berjudi

tikam nombor ekor setiap hari

kini dia didakwa

kerana memicit buah dada

anak jiran tetangga

aku tinggal di rumah pangsa

dua bilik sempit bagai reban angsa

 

Namaku Dolah

menunggu menjadi tentera

ayah akan didakwa

ibu pula mula mabuk ganja

dan abangku masih di DRC

entah bila akan keluar

Mungkin lima atau enam tahun lagi

 

Namaku Dolah

hidupku serba susah

tak pernah diajar mengaji

ke masjid jauh sekali

aku tak tahu angkat hadas besar

walaupun sudah pandai berahi

ayah tak pernah aku nampak sembahyang

ibu pula asyik berdansa dan berdandan

 

Namaku Dolah

aku menunggu jadi tentera

dalam Perkhidmatan Negara

entah bila akan dipanggil

berkhidmat untuk Negara

____________________________________________________________________________

Dolah. Kau tidak keseorangan. Telah ku temui Dolah yang lain.

Aku tahu di mana kau berada.

Advertisements

About this entry