Gerabak Terakhir

SASTERA MINGGU INI

CERPEN “GERABAK TERAKHIR”

HASIL KARYA : EMELDA JUMARI

HASIL INSPIRASI : NURHAYATI GHAFOOR

(genre Cerpen Segera. Disiapkan dalam masa kurang 30 minit)

Latar: Stesen Keretapi Boon Lay

Masa: 7.45 malam

Watak-watak Utama:

Seorang guru pelatih

Sepasang kekasih berbangsa Melayu (si Dara (dipersoalkan) bertudung, Si Teruna (dipersoalkan) berpakaian jenama sukan)

Empat orang anak muda jantan lelaki (2 berseragam Perkhidmatan Negara, 2 berseragam tatu)

Seorang remaja lelaki (dipersoalkan)

Watak-watak sampingan:

Penumpang-penumpang lain

______________________________________________________

Gerabak terakhir bukanlah setakat secara kewujudannya satu entiti gerabak. Secara meta-fiziknya, ia melambangkan realisme sosial masyarakat Melayu kita dan secara terperincinya, ia satu peneropongan sosial anak-anak Melayu kita dewasa ini. Situasi yang dapat dilihat di gerabak terakhir boleh dianggap sebagai satu fenomena sosial yang telah lama tidak diendahkan oleh pengkaji-pengkaji sosial yang hebat-hebat belaka. Hmm mungkin, mereka lebih selesa memandu kereta-kereta Lexus, BMW dan seangkatan dengannya. Pengalaman menumpang keretapi mungkin sesuatu yang mereka jarang atau tidak pernah dilalui. Sayang sekali, kerana di sinilah terdapat banyak yang masih boleh dijadikan isu-isu masyarakat yang tidak pernah disentuh.

Yang lebih menarik, mengapakah gerabak terakhir yang dipilih oleh golongan ini? Bukan gerabak di tengah mahupun di muncung keretapi, tetapi gerabak terakhir juga masih menjadi pilihan. Satu simbol pemberontakan? Satu simbol regresif? Anak-anak muda yang memilih untuk menuju ke gerabak terakhir seakan-akan mahu dilihat berada di situ. Lihatlah aku. Lihatlah aku. Tengok si dia. Tengok si dia. Pendek kata, kalau berada di gerabak terakhir, jangan harapkan privasi. Niat untuk menyendiri, niat untuk menyepi boleh dicampak jauh nun di sana. Di sini, bukalah mata dan marilah menonton sandiwara yang disaji.

Gerabak terakhir. Oren. Sesak.

Di hadapan ku terduduk sepasang kekasih yang jelasnya sedang bercinta. Oh indahnya percintaan. Ku kenal si teruna, ku kenal si dara. Maklumlah, mereka juga guru-guru pelatih. Aku tersenyum. Mereka tersenyum kembali. Kita sama-sama sudah mengangkat sumpah; bercita-cita membentuk dan mendidik anak-anak muda Singapura untuk menjadi warga yang berguna. Bangga juga melihat ramai orang kita menjadi pendidik, bukan?

Tiba-tiba si Teruna tersipu-sipu. Mengapa ya? Oh rupanya si Dara telah mula meletakkan tangannya di atas paha kekasihnya dan tangan yang lain pula mengusap manja kelopak telinga si Teruna. Sungguh erotis romantis dan sejujur-jujurnya, memualkan. Aksi-aksi lucah asmara itu telah diteruskan daripada Boon Lay hinggalah ke Bedok. Tidak segankah kamu oh Muslimah! Ramai yang menjeling ke arahmu. Tidak kah kau rasakan apa yang aku rasakan? Segan. Malu. Jijik. Apa yang telah dirakam oleh mata ku yang memandang telah diperhitungkan angkanya oleh malaikat kiri sebagai maksiat mata. Tapi bukan salah mata ini memandang!

Cikgu oh cikgu! Mengapa sehingga begitu sekali perlakuan mu? Entahlah. Bukan masalah aku.

Di kiri aku pula, sekumpulan anak-anak muda lelaki begitu kuat dan lantang berbual, terketawa (apa yang dianggap kelakar, tidak langsung logikal!) dan yang paling merunsingkan – menyumpah serapah. Contoh-contohnya tidak usahlah aku berikan. Kosa-kata mereka sememangnya cross-cultural, Hokkien ada, Cantonese juga apa kurangnya! Sungguh indah kurnia Allah swt memberikan kamu mulut untuk berbicara, digunakan sedemikian rupa. Baiklah. Berbekalkan telefon bimbit, mereka alpa mengambil gambar masing-masing di dalam gerabak terakhir, pelbagai aksi yang menarik! Tapi sedih ku lihat diri-dirimu yang begitu muda tapi keseluruhan lenganmu sudah penuh dengan contengan-contengan naga, ular dan ku tak pasti apa. Mengapa dik? Dalam kerancakanmu berjenaka, apabila kau ternampak diriku merenungmu lembut, kau tertunduk segan.

Janganlah kau malu denganku, malu lah dengan diri sendiri. Dik, kita sama-sama Melayu. Kakak rasa keperitan mu. Jeritan sepimu meminta diri diselamatkan. Tapi kakak hanyalah seorang guru.

Anak muda oh anak muda! Mengapa kamu begitu? Entahlah. Bukan masalah aku.

Masuk pula seorang lelaki Melayu. Eh pasti ke? Sungguh cantik rupamu. Sungguh lembut perwatakanmu. Terlalu lembut. Memang tak salah perlakuanmu. Dunia ini milikmu. Buatlah sesuka hatimu. Tapi mengapa?

Lelaki oh lelaki! Mengapa kamu begitu? Entahlah. Bukan masalah aku.

Sastera dunia.

“All the world’s a stage,
And all the men and women merely players:
They have their exits and their entrances;
And one man in his time plays many parts..”

– William Shakespeare (As You Like It)

Kadangkala lebih berwarna-warni daripada sastera di lembaran kertas. Aku hanya ingin melakukan sesuatu. Niat untuk melelapkan mata tatkala perjalanan pulang bertukar menjadi satu kerunsingan besar bagi ku. Aku risau dan gementar. Berduyun-duyun soalan-soalan retorik menyerbu mindaku! Watak anak-anak lelaki berseragam Perkhidmatan Negara itu mungkin akan menjadi anak didik ku kelak. Tanggungjawab yang begitu besar di bahu ku.

Akan ku cuba. Make A Difference. Akan ku bolehkan. Insya-Allah!

 

Advertisements

About this entry