(i)dolah Inspirasi Ku
Sejurus setelah selesai menulis cerpen “Gerabak Terakhir”, dengan izin Allah swt, penulis diperkenalkan pula kepada sajak tulisan Mohamed Latiff Mohamed berjudul “Balada Dolah”.
Teman seperjuangan, Saudara Irwan Jamal, telah mengungkapkan kepada ku semalam di kampus, “Mel, you have to read this! Balada Dolah. Powerr.” Aku pun terus membuka ke halaman 87 buku “Puisi Pilihan – Bila Rama-rama Patah Sayapnya”. Memang tepat. Ia sememangnya menyengat! Setinggi-tinggi terima kasih juga diucapkan kepada pejuang sastera muda ini kerana telah banyak memperkenalkan ku kepada dunia sastera Melayu Singapura. Sememangnya aku tersangat lambat berjinak-jinak dengan sastera tempatan, tapi yang penting, kini kesedaran itu telah mula dipupuk. Dahulunya, bukanlah aku sengaja mengetepikan atau menolak karya-karya ciptaan penulis tempatan, cuma kesempatan itu tidak langsung muncul buatku berkenal-suai. Tapi kini akhirnya, terbuka lembaran yang baru bagi diri ini!
Sejurus sahaja membaca sajak ini (aku akur keindahannya terletak pada gaya minimalistiknya dan bentuknya yang sungguh bersahaja), aku terus terkenang dan terbayang watak-watak anak-anak lelaki muda di dalam cerpen ”Gerabak Terakhir”. Ia merupakan sesuatu yang sungguh tidak disangka-sangka dan amat mengejutkan! Mungkinkah ini yang dimaksudkan oleh serendipity? Penemuan yang begitu tidak disangkakan. Emosi yang sememangnya menyenangkan!
Atas dasar keselarian inilah aku memilih untuk berkongsi sajak ini. Moga ia dijadikan bahan renungan mengenai kegunaan sastera untuk memberikan mesej kepada anak didik kita. Seringkali, hati itu lebih senang menerima ajar daripada akal. Boleh juga diajukan kepada murid-murid; berapa ramai Dolah yang awak kenali? Hmm mungkin, terdapat Dolah di kalangan darjah kau dan aku. Sastera itu hidup, bukan mati. Itulah mungkin pokoknya.
Balada Dolah
(Mohamed Latiff Mohamed)
Namaku Dolah
dari keluarga terbuang
ibuku pekerja kilang
ayah penyapu jalan
aku lulus darjah enam
setelah empat kali mengulang peperiksaan
kini umurku lapan belas
menunggu dipelawa jadi tentera
dalam Perkhidmatan Negara
abangku penagih dadah
sudah limabelas kali masuk DRC
dan kini tidak serik-serik lagi
dituduh merogol gadis sunti
ibuku asyik di kilang
ayah gemar berjudi
tikam nombor ekor setiap hari
kini dia didakwa
kerana memicit buah dada
anak jiran tetangga
aku tinggal di rumah pangsa
dua bilik sempit bagai reban angsa
Namaku Dolah
menunggu menjadi tentera
ayah akan didakwa
ibu pula mula mabuk ganja
dan abangku masih di DRC
entah bila akan keluar
Mungkin lima atau enam tahun lagi
Namaku Dolah
hidupku serba susah
tak pernah diajar mengaji
ke masjid jauh sekali
aku tak tahu angkat hadas besar
walaupun sudah pandai berahi
ayah tak pernah aku nampak sembahyang
ibu pula asyik berdansa dan berdandan
Namaku Dolah
aku menunggu jadi tentera
dalam Perkhidmatan Negara
entah bila akan dipanggil
berkhidmat untuk Negara
____________________________________________________________________________
Dolah. Kau tidak keseorangan. Telah ku temui Dolah yang lain.
Aku tahu di mana kau berada.
About this entry
You’re currently reading “(i)dolah Inspirasi Ku,” an entry on Gerobok Pandora
- Published:
- Ogos 28, 2008 / 4:53 pm
- Category:
- Emosi, Penulisan, Sastera Singapura, Tugas Pendidik
- Tags:
No comments yet
Jump to comment form | comments rss [?] | trackback uri [?]